Monday, 12 October 2015

FAHAMI HAK-HAK SELEPAS PUTUS TUNANG

Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google


Putus tunang atau mungkir janji untuk berkahwin adalah antara sinario yang biasa dalam masyarakat kita.

Bak kata orang dah tak ada jodoh, apa boleh buat? Orang dah tak sudi..

Putus tunang boleh terjadi dengan pelbagai alasan. Antara alasan yang biasa seperti tiada keserasian antara pasangan, berubah hati, kehadiran orang ketiga dan macam- macam lagi.

Boleh juga berlaku atas pilihan pihak perempuan tetapi pada kebiasaannya pihak lelaki yang memilih untuk memutuskan ikatan pertunangan.

Walaupun bertunang bukanlah perkara yang wajib dibuat sebelum perkahwinan tetapi ia merupakan amalan yang diktiraf dalam agama. Kerana itu, haram hukumnya bagi lelaki bertunang atau berkahwin dengan perempuan yang sudah terikat dengan pertunangan.

Walaupun implikasi putus tunang tidak sama dengan perceraian, undang-undang di Malaysia tetap mengiktiraf putus tunang atau mungkir janji untuk berkahwin tanpa alasan munasabah sebagai satu kesalahan. Ianya boleh dianggap sebagai kemungkinan kontrak (breach of contract).

Pihak yang memutuskan pertunangan tersebut harus membayar gantirugi kepada pihak yang menjadi mangsa.

Secara umumnya hak yang boleh dituntut adalah:
1) pemberian semasa pertunangan seperti cincin dan hadiah; dan
2) gantirugi persiapan perkahwinan seperti tempahan baju pengantin, kos membaiki rumah khusus untuk majlis perkahwinan, deposit khemah, barang-barang yang dibeli untuk majlis dan sebagainya yang berkaitan.

Gantirugi bukanlah satu hukuman tetapi lebih kepada memberi hak sewajarnya kepada pihak yang teraniaya. Seeloknya kedua-dua pihak berpisah dengan cara baik untuk kebaikan semua.

Sunday, 11 October 2015

BAHAGIAKAN DIRIMU WAHAI WANITA

Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google
Benarlah pepatah langit tak selamanya cerah. Ada masanya akan mendung. Begitu jugalah dengan kehidupan kita. Lumrah hidup ada masa kita gembira dan ada masa kita dirundung duka.

Kehidupan seorang wanita sering diuji. Tanpa mengira status apa kita ni. Ada sahaja dugaan dan ujian yang meragut kebahagiaan kita. Berapa ramai wanita yang terperangkap dengan masalah terutama isu rumah tangga. Seolah-olah dunia seakan tidak menyediakan ruang untuk kita merasa bahagia.

Nanti dulu. Dugaan dan ujian adalah sebahagian dari kehidupan. Apa yang namanya kehidupan pasti tersedia semua tu. Kita tidak ada pilihan untuk mengelak. Apa yang kita ada cuma pilihan antara untuk terus berduka atau tukar kepada bahagia.

Berbahagialah wahai wanita. Jangan terus membiarkan kita terus menjadi mangsa keadaan. Buktikan kemampuan kita untuk berbahagia biarpun dalam keadaan yang menyakitkan. Cuma kita sahaja yang mampu membahagiakan kehidupan kita.



SURI RUMAH ADALAH ANTARA PENDERA KANAK-KANAK

Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google

Kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun. Mangsa biasanya terdiri daripada kanak-kanak yang mempunyai hubungan dengan pendera termasuklah anak kandung pendera.

Pendera pula bukan sahaja terdiri daripada lelaki tetapi juga wanita termasuk ibu kandung mangsa. Tambah mengejutkan apabila statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2014 menunjukkan bilangan kes penderaan yang dilakukan oleh suri rumah (kebiasaanya adalah wanita) berada di tempat kedua tertinggi dengan jumlah kes sebanyak 568.

Seorang pendera pada kebiasaannya berada dalam keadaan tekanan perasaan. Mereka cenderung untuk melepaskan kemarahan keatas orang yang lebih lemah dan tidak akan melawan. Kalau pendera adalah ibu atau bapa, maka mangsa mereka adalah anak sendiri.

Tafsiran undang-undang bagi penderaan amat luas bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal tetapi juga merangkumi penderaan emosi, penderaan seksual, penganiayaan, pengabaian, membuang atau mendedahkan kanak-kanak terhadap penderaan.

Tidak semestinya penderaan tersebut mesti dilakukan sendiri oleh ibu bapa atau penjaga, tetapi ibu bapa boleh disabitkan kesalahan sekiranya membenarkan anaknya atau kanak-kanak dibawah jagaannya dianiaya, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.

Hukuman bagi kesalahan ini diperuntukkan dibawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu denda maksimum RM 20,000.00 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ibu bapa yang mendera atau cuai sehingga mengakibatkan kematian kanak-kanak juga boleh dihukum mengikut Kanun Kesiksaan dengan penjara selama 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Penderaan bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga kepada pendera sendiri. Kalau kita sebagai ibu bapa menjadi mangsa penderaan fizikal atau mental/emosi, jangan biarkan penderaan itu berterusan. Dapatkan bantuan segera sebelum kita pula yang bertukar status menjadi pendera.

Penderaan mesti dihentikan sebelum terlambat kerana banyak kes yang menunjukkan penderaan berterusan berakhir dengan kematian orang tersayang.

Friday, 9 October 2015

KEBENARAN ISTERI BUKAN SYARAT POLIGAMI

Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google

Isu poligami atau berkahwin lebih daripada seorang isteri adalah topik yang sering diperkatakan selepas kahwin dan cerai. Antara faktornya adalah percanggahan pendapat antara lelaki dan wanita dalam isu poligami. Secara umumnya lelaki menyokong dan wanita tidak menyokong. Oleh sebab itu sesiapa yang berhasrat untuk berpoligami perlu memohon izin atau kebenaran Mahkamah Syariah dan bukan izin isteri, atau sesiapa.

Perkara ini bertepatan dengan Syara' yang tidak meletakkan syarat untuk berpoligami perlu mendapat izin atau redho isteri terlebih dahulu.

Walaubagaimanapun, wanita tidak perlu berasa bimbang kerana ini bukan bermakna lelaki dengan mudah boleh mendapat kebenaran tersebut. Permohonan kepada mahkamah dibuat bagi membolehkan pihak Mahkamah menilai samada suami tersebut layak atau tidak untuk berkahwin lagi.

Dalam erti kata lain, masih terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh suami sebelum mahkamah membenarkan permohonan tersebut. Dan yang lebih penting, syarat-syarat tersebut digubal bagi memastikan hak isteri sedia ada tidak terabai.

Syarat-syarat tersebut adalah:
1) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu;
2) bahawa suami mempunyai kemampuan untuk menanggung isteri sedia ada, bakal isteri dan orang lain dibawah tanggungannya;
3) bahawa suami berupaya memberi layanan samarata kepada semua isterinya; dan
4) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan membawa kemudaratan kepada isteri atau isteri-isterinya.

Kesemua syarat tersebut perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum Mahkamah memberi kebenaran untuk berkahwin.

Islam tidak pernah menafikan hal suami untuk berpoligami tetapi pada masa yang sama juga Islam melarang berlakunya ketidak adilan kepada isteri.

Thursday, 8 October 2015

HANYA KERANA KITA WANITA

Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google


Suatu petang macam biasa kami bawa mak dan ayah mertua keluar makan. Sedang enak kami menikmati mee goreng mamak, seorang lelaki dilihat masuk ke kedai. Dia duduk di meja sebelah mengukir senyum. Mertua pun menyapa mesra. Daripada tanya asal mana terus rancak berbicara sehingga dia mula bertanya kalau-kalau mertua tahu dimana rumah orang yang boleh ubatkan sihir. Katanya isterinya sakit.

Menurut cerita lelaki tersebut, lebih kurang 10 tahun dulu dia berkahwin dengan seorang wanita. Beberapa tahun kemudian dia bercerai dan berkahwin dengan isteri kedua. Seorang warganegara Indonesia. Mereka berkahwin lebih kurang 8 tahun. Menurutnya sejak 5 bulan lalu isterinya kurang sihat. Menurutnya lagi, dia mengesyaki sihir tersebut angkara isteri pertama.

Terkilan rasanya dengan pernyataan tu. Kenapa masyarakat kita lebih cenderung menyalahkan wanita.

Apabila berlaku putus tunang, perceraian, poligami, masalah rumah tangga dan sebagainya kenapa wanita yang dituduh menjadi penyebabnya. Sedangkan lelaki pun sama salahnya. Lelaki pun selalu menjadi penyebabnya. Masih ramai lelaki yang menjadi pemangsa. Tetapi hanya kerana kita wanita, kesalahan selalu diletakkan ke atas kita.

DITIPU ANAK GUAM 1

Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google
Seorang kakak ni kami kenal dah lama. Diperkenalkan oleh bekas anak guam kami. Pada masa tu, ayah kakak ni ada sebidang tanah yang berkembar dengan  tanah sedara perempuannya. Ayahnya mahu menuntut hakmilik keseluruhan tanah kerana mendakwa tanah tersebut telah dijual  kepadanya. Tetapi nama di atas geran masih lagi nama saudara perempuannya. Apabila kedua-dua pihak gagal menyelesaikan masalah tersebut secara aman, maka jalan terakhir adalah melalui Mahkamah.

Sebagai Peguam, pastinya kita akan berusaha sehabis daya untuk mendapatkan hak anak guam kita biarpun kadang-kadang satu kes boleh memakan masa bertahun lamanya. Alhamdulillah segalanya berakhir dengan jayanya. Dan ayah kakak ni dapatlah menjadi pemilik keseluruhan tanah tersebut.

Selepas beberapa bulan kemudian, kakak ni datang lagi berbincang hasrat ayahnya untuk Hebah atau Pemberian tanah oleh ayahnya kepada dia atas dasar hubungan anak beranak. Setelah berbincang mengenai bayaran dan sebagainya, dia bersetuju melantik kami untuk menguruskan segalanya. Segala dokumen disediakan termasuk Surat Pemberian Hebah, Borang Pindahmilik Pejabat Tanah dan macam-macam lagi. Memandangkan tanah tersebut merupakan Tanah Rezab Melayu, Borang Pindahmilik 14A perlu ditandangani oleh Penjual/Pemberi Hebah dan Pembeli/Penerima Hebah dihadapan Pentadbir Tanah Negeri masing-masing.

Pada masa tu ayah kakak ni sedang sakit kuat. Lalu dia meminta izin supaya dia selesaikan urusan tandangan Borang Pindahmilik tersebut sendiri dan berjanji akan menyerahkan dokumen yang telah sempurna untuk tindakan kami selanjutnya. Kerana dia adalah bekas anak guam kami, maka kami dengan senang hati bersetuju.

Selepas sebulan berlalu, kakak ni senyap tanpa sebarang berita. Kami bersangka baik dan apabila ditanya dia memberi jawapan belum ke Pejabat Tanah kerana ayahnya tidak sihat. Langsung kami tak terfikir dia merancang untuk menipu. Tanpa pengetahuan kami, dia telah uruskan segalanya menggunakan dokumen yang kami sediakan secara senyap-senyap dengan niat untuk mengelakkan daripada membayar yuran guaman.

Tiba-tiba suatu hari dia menghubungi semula pihak kami kerana gagal  menukar nama pada geran walaupun semua dokumen sudah disempurnakan. Berlagak pandai dan menipu kami. Tetapi kerana Allah Maha Kaya dia gagal dalam misinya. Dia terpaksa mengalah kerana pihak Pejabat Tanah memberi arahan supaya dia merujuk semula Peguam kerana ada dokumen tambahan yang perlu disediakan.

Dia terpaksa datang semula dan menyelesaikan jumlah keseluruhan yuran guaman yang dipersetujui. Tetapi riak wajahnya langsung tidak ada rasa bersalah. Akhirnya pindahmilik tersebut berjaya tanpa sebarang masalah. Sungguh tidak sangka, kerana dia seorang wanita, kerana dia seorang ibu tunggal, kerana dia sudah lama mengenali kita dan kerana kita adalah saudara seagama tetapi dia menipu tanpa rasa bersalah.

Peguam selalu dituduh menipu kerana bijak bermain kata. Tetapi mungkin ada yang tidak tahu peguam pun selalu ditipu walaupun oleh anak guam sendiri.

Tuesday, 6 October 2015

TENTANG NIAT

Teks: Siti Hajar Ismail

Payah memulakan sesuatu, bila niat dan tujuan menjadi kurang pasti. Tak kira apa jua yang kita ingin lakukan. Perkara baik atau tak baik. Niat ni hanya kita sahaja yang tahu. Mungkin boleh disorokkan kepada orang lain. Tapi bukan diri sendiri.

Rugilah sangat kalau kita buat sesuatu tanpa niat. Buat sebab ikut orang, buat sebab tengok  orang buat macam menarik, atau buat semata sebab minat tapi tak de niat. Rasa macam makanan tak berperisa. Bahkan mungkin lebih teruk dari itu.

Agama mengajar kita tentang pentingnya niat. Dalam peristiwa hijrah Rasulullah, disitu dititipkan betapa pentingnya niat seseorang. Dari situ menjadi titik tolak perjalanan seterusnya.

Bila kita memulakan sesuatu, niatkanlah kerana Allah. Kerana perjalanan seterusnya akan buat kita fokus, akan buat kita teruja akan buat kita tak mudah putus asa.

Allah, kami ini hatinya lemah, lalai, senang putus asa. Hadiahkanlah kami ingatan padaMu. Moga setiap detik, amalan kami diniatkan untukMu.