Friday, 9 October 2015

KEBENARAN ISTERI BUKAN SYARAT POLIGAMI

Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google

Isu poligami atau berkahwin lebih daripada seorang isteri adalah topik yang sering diperkatakan selepas kahwin dan cerai. Antara faktornya adalah percanggahan pendapat antara lelaki dan wanita dalam isu poligami. Secara umumnya lelaki menyokong dan wanita tidak menyokong. Oleh sebab itu sesiapa yang berhasrat untuk berpoligami perlu memohon izin atau kebenaran Mahkamah Syariah dan bukan izin isteri, atau sesiapa.

Perkara ini bertepatan dengan Syara' yang tidak meletakkan syarat untuk berpoligami perlu mendapat izin atau redho isteri terlebih dahulu.

Walaubagaimanapun, wanita tidak perlu berasa bimbang kerana ini bukan bermakna lelaki dengan mudah boleh mendapat kebenaran tersebut. Permohonan kepada mahkamah dibuat bagi membolehkan pihak Mahkamah menilai samada suami tersebut layak atau tidak untuk berkahwin lagi.

Dalam erti kata lain, masih terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh suami sebelum mahkamah membenarkan permohonan tersebut. Dan yang lebih penting, syarat-syarat tersebut digubal bagi memastikan hak isteri sedia ada tidak terabai.

Syarat-syarat tersebut adalah:
1) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu patut dan perlu;
2) bahawa suami mempunyai kemampuan untuk menanggung isteri sedia ada, bakal isteri dan orang lain dibawah tanggungannya;
3) bahawa suami berupaya memberi layanan samarata kepada semua isterinya; dan
4) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan membawa kemudaratan kepada isteri atau isteri-isterinya.

Kesemua syarat tersebut perlu dibuktikan terlebih dahulu sebelum Mahkamah memberi kebenaran untuk berkahwin.

Islam tidak pernah menafikan hal suami untuk berpoligami tetapi pada masa yang sama juga Islam melarang berlakunya ketidak adilan kepada isteri.

No comments:

Post a Comment