Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google
Seorang kakak ni kami kenal dah lama. Diperkenalkan oleh bekas anak guam kami. Pada masa tu, ayah kakak ni ada sebidang tanah yang berkembar dengan tanah sedara perempuannya. Ayahnya mahu menuntut hakmilik keseluruhan tanah kerana mendakwa tanah tersebut telah dijual kepadanya. Tetapi nama di atas geran masih lagi nama saudara perempuannya. Apabila kedua-dua pihak gagal menyelesaikan masalah tersebut secara aman, maka jalan terakhir adalah melalui Mahkamah.
Sebagai Peguam, pastinya kita akan berusaha sehabis daya untuk mendapatkan hak anak guam kita biarpun kadang-kadang satu kes boleh memakan masa bertahun lamanya. Alhamdulillah segalanya berakhir dengan jayanya. Dan ayah kakak ni dapatlah menjadi pemilik keseluruhan tanah tersebut.
Selepas beberapa bulan kemudian, kakak ni datang lagi berbincang hasrat ayahnya untuk Hebah atau Pemberian tanah oleh ayahnya kepada dia atas dasar hubungan anak beranak. Setelah berbincang mengenai bayaran dan sebagainya, dia bersetuju melantik kami untuk menguruskan segalanya. Segala dokumen disediakan termasuk Surat Pemberian Hebah, Borang Pindahmilik Pejabat Tanah dan macam-macam lagi. Memandangkan tanah tersebut merupakan Tanah Rezab Melayu, Borang Pindahmilik 14A perlu ditandangani oleh Penjual/Pemberi Hebah dan Pembeli/Penerima Hebah dihadapan Pentadbir Tanah Negeri masing-masing.
Pada masa tu ayah kakak ni sedang sakit kuat. Lalu dia meminta izin supaya dia selesaikan urusan tandangan Borang Pindahmilik tersebut sendiri dan berjanji akan menyerahkan dokumen yang telah sempurna untuk tindakan kami selanjutnya. Kerana dia adalah bekas anak guam kami, maka kami dengan senang hati bersetuju.
Selepas sebulan berlalu, kakak ni senyap tanpa sebarang berita. Kami bersangka baik dan apabila ditanya dia memberi jawapan belum ke Pejabat Tanah kerana ayahnya tidak sihat. Langsung kami tak terfikir dia merancang untuk menipu. Tanpa pengetahuan kami, dia telah uruskan segalanya menggunakan dokumen yang kami sediakan secara senyap-senyap dengan niat untuk mengelakkan daripada membayar yuran guaman.
Tiba-tiba suatu hari dia menghubungi semula pihak kami kerana gagal menukar nama pada geran walaupun semua dokumen sudah disempurnakan. Berlagak pandai dan menipu kami. Tetapi kerana Allah Maha Kaya dia gagal dalam misinya. Dia terpaksa mengalah kerana pihak Pejabat Tanah memberi arahan supaya dia merujuk semula Peguam kerana ada dokumen tambahan yang perlu disediakan.
Dia terpaksa datang semula dan menyelesaikan jumlah keseluruhan yuran guaman yang dipersetujui. Tetapi riak wajahnya langsung tidak ada rasa bersalah. Akhirnya pindahmilik tersebut berjaya tanpa sebarang masalah. Sungguh tidak sangka, kerana dia seorang wanita, kerana dia seorang ibu tunggal, kerana dia sudah lama mengenali kita dan kerana kita adalah saudara seagama tetapi dia menipu tanpa rasa bersalah.
Peguam selalu dituduh menipu kerana bijak bermain kata. Tetapi mungkin ada yang tidak tahu peguam pun selalu ditipu walaupun oleh anak guam sendiri.
No comments:
Post a Comment