Sunday, 11 October 2015

SURI RUMAH ADALAH ANTARA PENDERA KANAK-KANAK

Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google

Kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun. Mangsa biasanya terdiri daripada kanak-kanak yang mempunyai hubungan dengan pendera termasuklah anak kandung pendera.

Pendera pula bukan sahaja terdiri daripada lelaki tetapi juga wanita termasuk ibu kandung mangsa. Tambah mengejutkan apabila statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2014 menunjukkan bilangan kes penderaan yang dilakukan oleh suri rumah (kebiasaanya adalah wanita) berada di tempat kedua tertinggi dengan jumlah kes sebanyak 568.

Seorang pendera pada kebiasaannya berada dalam keadaan tekanan perasaan. Mereka cenderung untuk melepaskan kemarahan keatas orang yang lebih lemah dan tidak akan melawan. Kalau pendera adalah ibu atau bapa, maka mangsa mereka adalah anak sendiri.

Tafsiran undang-undang bagi penderaan amat luas bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal tetapi juga merangkumi penderaan emosi, penderaan seksual, penganiayaan, pengabaian, membuang atau mendedahkan kanak-kanak terhadap penderaan.

Tidak semestinya penderaan tersebut mesti dilakukan sendiri oleh ibu bapa atau penjaga, tetapi ibu bapa boleh disabitkan kesalahan sekiranya membenarkan anaknya atau kanak-kanak dibawah jagaannya dianiaya, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.

Hukuman bagi kesalahan ini diperuntukkan dibawah Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 iaitu denda maksimum RM 20,000.00 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Ibu bapa yang mendera atau cuai sehingga mengakibatkan kematian kanak-kanak juga boleh dihukum mengikut Kanun Kesiksaan dengan penjara selama 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Penderaan bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa tetapi juga kepada pendera sendiri. Kalau kita sebagai ibu bapa menjadi mangsa penderaan fizikal atau mental/emosi, jangan biarkan penderaan itu berterusan. Dapatkan bantuan segera sebelum kita pula yang bertukar status menjadi pendera.

Penderaan mesti dihentikan sebelum terlambat kerana banyak kes yang menunjukkan penderaan berterusan berakhir dengan kematian orang tersayang.

No comments:

Post a Comment