Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google
Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi
seorang suri yang bekerja dari rumah. Mungkin kerana kehidupan saya dikelilingi
masyarakat yang menganggap bahawa suri rumah adalah kerjaya pilihan terakhir
wanita abad ini terutama sekali bagi golongan yang bergelar graduan. Atau mungkin
juga kerana hampir semua kenalan saya bekerja samada dalam sektor awam atau
swasta. Lantaran itu, saya akui ada kalanya saya merasa rendah diri jika
berstatus suri rumah.
Masih ramai yang tidak sedar
sebenarnya suri rumah hari ini amat berbeza. Mereka bukan sahaja mampu
menguruskan rumah tangga dan anak-anak dengan cemerlang malah mampu menjana
pendapatan setaraf wanita bekerjaya.
Semenjak di sekolah menengah
lagi, saya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Pada saya, kerjaya
tersebut adalah satu profesion yang hebat, membanggakan ibubapa, menjanjikan
gaji yang lumayan dan juga memberi peluang berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
Membayangkan diri ini berdiri di hadapan Yang Arif Hakim sambil melontarkan
hujah-hujah bagi membela anak guam yang tidak bersalah. Tambah manis lagi
apabila menang dalam suatu kes bicara.
Keputusan SPM saya pada ketika
itu, agak cemerlang membolehkan saya dengan mudah diterima masuk menyambung
pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam Jurusan
Undang-Undang. Memandangkan saya merupakan pelajar sekolah aliran agama, saya
diberi peluang untuk membuat dwiijazah atau double
degree dalan Jurusan Undang-Undang Syariah. Sebagai seorang pelajar yang
mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, saya fokus dalam pengajian bagi
memenuhi syarat-syarat penajaan. Saya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh
lima tahun.
Bagi memenuhi impian saya, sebaik
sahaja tamat pengajian, saya menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma di
negeri kelahiran saya. Latihan dalam kamar ini biasanya akan berjalan selama sembilan
bulan berturut-turut dan setiap pelatih dalam kamar perlu lulus ujian Etika
Undang-Undang sebelum diterima masuk dan
didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara. Nasib tidak menyebelahi saya
pada ketika itu. Selepas lima bulan menjalani latihan dalam kamar, saya telah
dipanggil oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berkhidmat sebagai kakitangan
awam berstatus kontrak. Saya tidak diberi pilihan melainkan wajib menerima
tawaran tersebut kerana sekiranya ingkar, saya perlu membayar gantirugi sebagaimana
yang termaktub dalam perjanjian terdahulu. Dengan berat hati saya terpaksa
akur. Cubaan saya untuk berunding dengan pihak atasan juga gagal. Saya kemudianya
ditempatkan di jabatan kerajaan di Kuala Lumpur.
Alhamdulillah segalanya berjalan
lancar. Selama tempoh saya berkhidmat, saya berpeluang berkenalan dengan ramai
orang dari perbagai latar belakang dan dapat belajar banyak perkara. Terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang saya
lalui. Menjadikan saat itu terlalu bernilai dalam sejarah hidup saya. Setahun
selepas itu saya bertemu jodoh dengan suami yang juga merupakan orang Kedah.
Bermulalah episod baru hidup saya. Setiap minggu saya berulang alik dari Kuala
Lumpur ke Kedah untuk bertemu suami. Peritnya hanya saya yang merasa terutama sekali
selama tempoh mengandungkan anak pertama.
Selepas melahirkan anak pertama,
saya masih bekerja di Kuala Lumpur. Memandangkan pada ketika itu, isu bayi dan kanak-kanak
didera atau mati akibat kecuaian pengasuh atau pusat jagaan merupakan isu yang
menjadi bualan masyarakat, saya dan suami dengan persetujuan ibu bapa mengambil
keputusan tidak membawa bayi saya tinggal di Kuala Lumpur, sebaliknya dijaga
oleh ibubapa saya di kampung demi menjamin keselamatan dan keselesaannya.
Manakala saya akan berulang alik setiap minggu seperti biasa. Saya juga akur dengan
keputusan tersebut walaupun setiap saat saya merindui anak saya di kampung. Pada
ketika itu, saya cuma terfikir untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk
bersama keluarga. Setiap hari saya terfikir sekiranya esok adalah hari terakhir
saya di dunia ini, saya amat terkilan dan rasa bersalah kerana tidak menjaga
anak saya dan tidak dapat melihat dia membesar di depan mata. Saya korbankan
semua tu semata-mata kerana kerjaya. Kerana itulah, selepas tamat tempoh
perkhidmatan saya selama tiga tahun, saya nekad untuk berhenti walaupun dipujuk
berkali-kali oleh pihak atasan untuk melanjutkan kontrak.
Cita-cita saya untuk menjadi
peguam belum pernah luntur dalam jiwa saya. Kerana itu saya nekad untuk
menjalani latihan dalam kamar sekali lagi walaupun terpaksa mengulangi
segalanya semula. Alhamdulillah saya
berjaya menamatkan latihan dalam kamar dalam tempoh yang ditetapkan dan
akhirnya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara.
Syukur kepada Allah, pada masa yang sama saya juga melahirkan anak kedua.
Bukan mudah untuk saya
membahagikan masa antara kerjaya dan menguruskan anak-anak. Memandangkan suami
saya seorang peguam dan mengendalikan kes-kes di luar kawasan. Tanggungjawab
menguruskan anak-anak adalah tanggungjawab saya sepenuhnya. Suami hanya akan
berada di rumah pada hujung minggu sahaja. Itu pun masih perlu memperuntukkan
masa untuk berjumpa klien dan menyiapkan tugasan lain. Faktor ini juga yang
mendorong suami mencadangkan supaya saya berhenti kerja untuk menguruskan
keluarga dan anak-anak memandangkan anak sulung saya pun sudah mula bersekolah.
Bertitik tolak dari itu, saya
mula berfikir untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Tetapi saya juga perlu
mempunyai pendapatan sendiri untuk kelangsungan hidup dan simpanan masa depan. Di
sini segalanya bermula. Saya memulakan fasa baru kehidupan. Saya mengorak
langkah mengikut jejak suri rumah yang telah berjaya membuktikan bahawa suri
dan ibu yang bekerja dari rumah juga tidak kurang hebatnya. Masih banyak
perkara yang perlu saya pelajari dan terokai. Saya percaya bahawa untuk terus
istiqamah dalam perkara baru, saya perlukan sokongan. Saya membuat keputusan
untuk menyertai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) kerana saya percaya disini
tersedia bimbingan dan latihan dari guru-guru dan rakan-rakan yang
berpengalaman. Sekurang-kurangnya langkah saya akan lebih teratur dan penuh
keyakinan.