Friday, 4 September 2015

DISINI SEGALANYA BERMULA


Teks: Siti Hajar Ismail
Image: Google

Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang suri yang bekerja dari rumah. Mungkin kerana kehidupan saya dikelilingi masyarakat yang menganggap bahawa suri rumah adalah kerjaya pilihan terakhir wanita abad ini terutama sekali bagi golongan yang bergelar graduan. Atau mungkin juga kerana hampir semua kenalan saya bekerja samada dalam sektor awam atau swasta. Lantaran itu, saya akui ada kalanya saya merasa rendah diri jika berstatus suri rumah.

Masih ramai yang tidak sedar sebenarnya suri rumah hari ini amat berbeza. Mereka bukan sahaja mampu menguruskan rumah tangga dan anak-anak dengan cemerlang malah mampu menjana pendapatan setaraf wanita bekerjaya.

Semenjak di sekolah menengah lagi, saya bercita-cita untuk menjadi seorang peguam. Pada saya, kerjaya tersebut adalah satu profesion yang hebat, membanggakan ibubapa, menjanjikan gaji yang lumayan dan juga memberi peluang berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Membayangkan diri ini berdiri di hadapan Yang Arif Hakim sambil melontarkan hujah-hujah bagi membela anak guam yang tidak bersalah. Tambah manis lagi apabila menang dalam suatu kes bicara.

Keputusan SPM saya pada ketika itu, agak cemerlang membolehkan saya dengan mudah diterima masuk menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam Jurusan Undang-Undang. Memandangkan saya merupakan pelajar sekolah aliran agama, saya diberi peluang untuk membuat dwiijazah atau double degree dalan Jurusan Undang-Undang Syariah. Sebagai seorang pelajar yang mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, saya fokus dalam pengajian bagi memenuhi syarat-syarat penajaan. Saya berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh lima tahun.

Bagi memenuhi impian saya, sebaik sahaja tamat pengajian, saya menjalani latihan dalam kamar di sebuah firma di negeri kelahiran saya. Latihan dalam kamar ini biasanya akan berjalan selama sembilan bulan berturut-turut dan setiap pelatih dalam kamar perlu lulus ujian Etika Undang-Undang  sebelum diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara. Nasib tidak menyebelahi saya pada ketika itu. Selepas lima bulan menjalani latihan dalam kamar, saya telah dipanggil oleh Jabatan Perkhidmatan Awam untuk berkhidmat sebagai kakitangan awam berstatus kontrak. Saya tidak diberi pilihan melainkan wajib menerima tawaran tersebut kerana sekiranya ingkar, saya perlu membayar gantirugi sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian terdahulu. Dengan berat hati saya terpaksa akur. Cubaan saya untuk berunding dengan pihak atasan juga gagal. Saya kemudianya ditempatkan di jabatan kerajaan di Kuala Lumpur.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Selama tempoh saya berkhidmat, saya berpeluang berkenalan dengan ramai orang dari perbagai latar belakang dan dapat belajar banyak perkara. Terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang saya lalui. Menjadikan saat itu terlalu bernilai dalam sejarah hidup saya. Setahun selepas itu saya bertemu jodoh dengan suami yang juga merupakan orang Kedah. Bermulalah episod baru hidup saya. Setiap minggu saya berulang alik dari Kuala Lumpur ke Kedah untuk bertemu suami. Peritnya hanya saya yang merasa terutama sekali selama tempoh mengandungkan anak pertama.

Selepas melahirkan anak pertama, saya masih bekerja di Kuala Lumpur. Memandangkan pada ketika itu, isu bayi dan kanak-kanak didera atau mati akibat kecuaian pengasuh atau pusat jagaan merupakan isu yang menjadi bualan masyarakat, saya dan suami dengan persetujuan ibu bapa mengambil keputusan tidak membawa bayi saya tinggal di Kuala Lumpur, sebaliknya dijaga oleh ibubapa saya di kampung demi menjamin keselamatan dan keselesaannya. Manakala saya akan berulang alik setiap minggu seperti biasa. Saya juga akur dengan keputusan tersebut walaupun setiap saat saya merindui anak saya di kampung. Pada ketika itu, saya cuma terfikir untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung untuk bersama keluarga. Setiap hari saya terfikir sekiranya esok adalah hari terakhir saya di dunia ini, saya amat terkilan dan rasa bersalah kerana tidak menjaga anak saya dan tidak dapat melihat dia membesar di depan mata. Saya korbankan semua tu semata-mata kerana kerjaya. Kerana itulah, selepas tamat tempoh perkhidmatan saya selama tiga tahun, saya nekad untuk berhenti walaupun dipujuk berkali-kali oleh pihak atasan untuk melanjutkan kontrak.

Cita-cita saya untuk menjadi peguam belum pernah luntur dalam jiwa saya. Kerana itu saya nekad untuk menjalani latihan dalam kamar sekali lagi walaupun terpaksa mengulangi segalanya semula. Alhamdulillah saya berjaya menamatkan latihan dalam kamar dalam tempoh yang ditetapkan dan akhirnya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguambela dan peguamcara. Syukur kepada Allah, pada masa yang sama saya juga melahirkan anak kedua.

Bukan mudah untuk saya membahagikan masa antara kerjaya dan menguruskan anak-anak. Memandangkan suami saya seorang peguam dan mengendalikan kes-kes di luar kawasan. Tanggungjawab menguruskan anak-anak adalah tanggungjawab saya sepenuhnya. Suami hanya akan berada di rumah pada hujung minggu sahaja. Itu pun masih perlu memperuntukkan masa untuk berjumpa klien dan menyiapkan tugasan lain. Faktor ini juga yang mendorong suami mencadangkan supaya saya berhenti kerja untuk menguruskan keluarga dan anak-anak memandangkan anak sulung saya pun sudah mula bersekolah.

Bertitik tolak dari itu, saya mula berfikir untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Tetapi saya juga perlu mempunyai pendapatan sendiri untuk kelangsungan hidup dan simpanan masa depan. Di sini segalanya bermula. Saya memulakan fasa baru kehidupan. Saya mengorak langkah mengikut jejak suri rumah yang telah berjaya membuktikan bahawa suri dan ibu yang bekerja dari rumah juga tidak kurang hebatnya. Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dan terokai. Saya percaya bahawa untuk terus istiqamah dalam perkara baru, saya perlukan sokongan. Saya membuat keputusan untuk menyertai Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) kerana saya percaya disini tersedia bimbingan dan latihan dari guru-guru dan rakan-rakan yang berpengalaman. Sekurang-kurangnya langkah saya akan lebih teratur dan penuh keyakinan.

No comments:

Post a Comment