Saturday, 19 September 2015

WANITA WAJIB CELIK UNDANG-UNDANG

Teks: Siti Hajar Binti Ismail
Image: Google


Wanita adalah makhluk Allah yang sangat unik dan dicipta dengan penuh ketelitian. Berbanding lelaki, wanita diakui lebih beremosi, lebih sensitif, lebih peka tehadap persekitarannya dan lebih memerlukan penjagaan dan perlindungan daripada anasir-anasir yang boleh mendatangkan bahaya dan gangguan secara langsung atau tidak terhadap wanita. Undang-undang merupakan salah satu mekanisma yang berupaya memainkan peranan ini dan mampu juga untuk melindungi hak-hak dan kepentingan wanita dalam masyarakat.

Undang-undang adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan wanita. Di mana sahaja kita berada dan dengan apa jua watak sekalipun, wanita perlu tahu hak-hak mereka. Hak kita sebagai majikan, hak sebagai pekerja, hak sebagai pengguna, hak sebagai orang awam, hak sebagai seorang isteri, seorang ibu, seorang anak dan macam-macam lagi. Semua ini ada di dalam undang-undang. Ada yang kita tahu tetapi masih banyak yang kita tidak tahu.

Jika kita adalah seorang wanita tak kira apapun status kita, kanak-kanak, belum berkahwin, sudah berkeluarga, tua atau muda, sebagai wanita kita wajib celik undang-undang. Dalam erti kata lain, wanita perlu tahu hak-hak yang diperuntukkan oleh undang-undang samada undang-undang Sivil atau Syariah. Undang-undang yang khusus digubal/digazetkan untuk wanita mahupun undang-undang yang umum.

Ramai dikalangan wanita cuma akan lebih peka tentang hak mereka dalam undang-undang apabila berdepan dengan masalah. Hal ini amat perlu dielakkan supaya hak kita tidak dinafikan, diremehkan atau diabaikan dan yang lebih utama adalah bagi memastikan masalah yang dihadapi boleh diselesaikan dengan lebih cepat dan mudah. Kerana kurangnya pengetahuan undang-undang, ramai yang keliru dan salah faham tentang hak-hak mereka. Mungkin juga pendedahan yang kurang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu menyebabkan wanita tidak peka akan hal ini.

Sebagai contoh dalam isu berkaitan undang-undang keluarga, antara akta-akta yang memperuntukkan hak-hak wanita adalah seperti, Akta Memperbaharui Undang-Undang Perkahwinan Dan Perceraian, Akta Perempuan Bersuami, Akta Perempuan Bersuami dan Anak-Anak, Akta Perintah Nafkah, Akta Penjagaan Anak, Akta Anak Angkat. Akta-Akta ini digunapakai kepada wanita bukan islam. Manakala bagi wanita Islam pula Akta/Enakment Keluarga Islam mengikut negeri masing-masing menyatakan secara terperinci hak-hak wanita.

Walaupun keadilan kepada wanita pada realitinya masih belum benar-benar dapat dilaksanakan, sekurang-kurangnya undang-undang sedia masih boleh diguna pakai untuk melindungi wanita. Walaupun begitu, golongan wanita sendiri perlu memainkan peranan bagi melindungi hak-hak dan bagi memastikan kepentingan kita terpelihara. Tidak rugi kita menambahkan pengetahuan undang-undang kerana ianya amat berguna untuk kita.  

Hargailah diri kita sebagai wanita. Jom tambah ilmu undang-undang untuk menjamin hak kita terjaga.

No comments:

Post a Comment